Apai 012-2448757

About APAIPICTURES

My name is Mohd Fairus bin Aris, better known as Apai, born in the historical state of Malacca. I am not equipped with formal education in photography but rather learn from a few mentors that I greatly respect. My passion in photography is the main drive for me to transform your great moments into still photos. It is a great honour for APAIPCTURES to capture your beautiful moments be it for your wedding, portraiture or others. Enjoy surfing and my heartfelt gratitude for your support. E-mail : admin@apaipictures.com Mobile : +6 012 244 8757

Archive: ‘personal’



[TRAVELOG] TAIPING – PART 3

Monday, March 11th, 2013

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Kita sambung lagi untuk Part 3 pulak dan kira yang terakhir untuk cerita kami ke Taiping ni.

Pagi hari terakhir di Taiping.. kami pusing2 lagi sekitar Sentosa Villa untuk bergambar kenangan, memang suka sangat la tempat macam ni dan semoga niat hati nak bukak tempat begini tercapai satu hari nanti. Landskap dan fasiliti di Sentosa Villa memang sangat sesuai untuk percutian singkat dan untuk pilihan untuk mereka yang pentingkan kedamaian. Lokasi pulak dekat sangat dengan tarikan utama iaitu Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan Burmese Pool (jeram).

Lepas check-out, misi JJCM diteruskan dan lokasi pertama kami adalah Kue Teow Doli yang kira menu wajib cuba di Taiping. Kami sempat la makan kejap sebelum Amar Syakirin mula mengamuk.. mungkin tak cukup tido atau perut meragam..sebabkan kesiankan Amar dan mula tak selesa sebab orang keliling dok pandang jek (macam la tak pernah ade budak kecik :( ), kami pun tapau jek baki kue teow tadi dan gerak daripada situ. Disebabkan ade beberapa lagi tempat nak singgah dan kesiankan Amar pulak nak berhenti singgah setiap kedai.. Jadi kami buat keputusan untuk tapau jek semua dan piknik terus kat Taman Tasik Taiping. Nasib baik semua yang kami nak bi ade dekat2 kawasan pekan jek.. carik Jalan Barrack dlm GPS sebab nak pegi kedai cendol Bismillah, kemudian cari Bank Rakyat pulak.. bukan nak keluar duit tapi sebab sebelah Bank Rakyat tuh ade kedai jual teh candu.. Memang agak bercandu la teh tarik dia, rahsianya rasanya sesudu serbuk coklat Milo yang dicampur dalam teh tarik tu.

Sebelum tuh, sempat gak singgah kat pasar Taiping untuk beli pisang emas. Iye, Amar Syakirin dah mula makan solid food, so kami start dgn pisang dulu.. leka dia kunyel pisang tuh dgn gusi dia..pandai marah lak tuh kalau kita cabut dari mulut. Waktu saya upload entri nih, umi Amar Syakirin dah pon cuba macam2 resepi untuk Aamr Syakirin. Kami campurkan kurma dalam setiap menu Amar sebab kita semua pon tahu kan kelebihan kurma ni. Harapnya Amar Syakirin membesar dengan cerdas, fasih lisan untuk mengucap kalimah suci dan sihat tubuh badan. Settle jek semua, kami pon carik port di sekitar Taman Tasik Taiping nih.. seronok golek2 dgn famili, tak sia2 beli alas tikar portable masa gi Melbourne tahun lepas. Selesai rehat..golek2..solat sume, kami sambung lagi trip kami dan kali ke Kuala Sepetang :)

Jarak Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld) ni ade la dalam 20 minit camtu.. Sejarah Kuala Sepetang ni pon saya dah pernah share dulu. Sebabkan ini kali kedua saya ke sana..so, cepatlah sikit sampai sebab dah tau jalan..itu pun berenti kejap sebab Amar mula boring dok dalam keta lama2.. berenti park tepi,a mik angin ngadap pemandangan parit tepi jalan..bolehh?? Sampai di Kuala Sepetang.. kami gerak dulu ke pekan sebab khabarnya ade kedai lain selain Mak Jah ni..tapi last2 patah balik ke Mak Jah jugak sebab kedai tuh nampak macam tak meriah je..suram dengan pengunjung. Kadang-kadang orang kita yang meniaga gerai atau warung ni..menu memang dha special tapi takn nak labur sikit untuk dekorasi dan keselesaan pengunjung. Cepat sangat puas hati :(

Boboy macam bese melantak seolah2 perut dia pakai tangki lori siput, tak tau bila la dia nak kenyang..huhu, tapi takpe la, rezeki dia nak dapat selera makan macam tu.. Kedai Mak Jah ni pon..kalau sape yang dah pegi, memang tau la ramai camen, nak2 time weekend.. Ramai yang datang secara konvoi dengan famili..dan ramai jugak geng2 superbike nih.. Cuma satu yang saya kesalkan dengan masyarakat kita.. TAK SENSITIF dan ini khusus untuk sang perokok. Cukup2 la bahayakan nyawa sendiri..tak payah la nak bahayakan nyawa anak bini sendiri dan orang sekeliling. Lepas makan..kenyang..tersandar.. kat situ jugak ko nak berkepul2, walhal sekliling ko ni kan banyak bayi2 kecik. Aku faham kalau kadang2 sang perokok tak perasan..tp bila kita dah bagi sign, kerling2 mata tu, faham sendiri sudah ler.. Ko nak buat keras ko, kang tegur melenting..BEBAL. Ok la.. layan gambar jek cukup kot.. nk layan perasaan kang tak tau pulak bila sudahnye.

Selesai makan, trus gerak balik . Sempat perasan yang kedai sebelah nama dia “Kedai anak Mak Jah”.. huhu, boleh plak macam tuh ek, ni kes mak tak nak kongsi kesenangan or anak tak sabar nak kaya ke apa.. takpe, kita sama2 doakan yang terbaik untuk perniagaan mereka.. Masa balik ade acara wajib kalau lalu highway PLUS dari utara..kena singgah beli buah. Biasanya saya stop kat RnR Rapah, tapi kali ni pilih untuk stop RnR Bukit Gantang.. beli la sikit buah tangan dan jamah durian buat lepas rindu kat tekak..hik hik.

Alhamdulillah, selamat sampai KL malam tu jugak. Jadi, saranan saya.. tak perlu pening nak pikir tempat grand2 je untuk keluar bercuti.. sebab yang penting kita sendiri kena enjoy dan luang masa berkualiti dengan keluarga. Bukan tempat tu yang kena best.. kita yang kena BEST dulu :)

“Keep Giving & Smiling | Save Gaza Free Palestine”

Syukur pada Allah Azza waJalla, selaut kasih buat isteri tercinta, Nur Akmarina & salam sayang pada anakanda, Amar Syakirin.

Monday, September 10th, 2012

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Syukur pada Allah Azza waJalla, selaut kasih buat isteri tercinta, Nur Akmarina & salam sayang pada anakanda, Amar Syakirin.

Aku nukil perasaan dan pengalaman ini atas rasa syukur dan takjub atas kebesaran Allah. Tatkala ini, aku sedang duduk bersandar di atas sofa berhadapan katil no. 8, wad paedatrik 7, Pusat Perubatan Universiti Malaya kerana menemani anakanda kesayangan, Amar Syakirin bersama-sama dengan isteri tercinta yang tabah bertahan walau dalam tempoh berpantang. Anakanda kini masuk hari kedua ditahan kerana sakit kuning (jaundice). Bacaan awal 315 pada sampel darah Amar adalah dikira tinggi dari sudut perubatan dan Alhamdulillah hari ini berkurang ke bacaan 282. Walaupun had selamat ialah 280 tetapi doktor di sini ingin mengambil langkah selamat & berjaga-jaga dengan meneruskan rawatan Amar Syakirin di bawah lampu UV (phototherapy) hingga mencapai bacaan 250 & ke bawah. Sakit kuning mungkin simptom biasa bagi bayi baru lahir. Terlalu kerap aku mendengar rakan-rakan mengadu bayi mereka dijangkiti sakit kuning sejurus lahir dan tindak balas aku biasanya biasa sahaja kerana merasakan simptom ini normal dan tidak terlalu berbahaya. Apatah lagi kalau di kampung, amalan menjemur bayi di waktu panas matahari pagi kononnya cukup untuk memulihkan bayi-bayi ini.

Allah Maha Besar, sejurus dikurniakan Amar Syakirin.. Aku diduga betapa rasa biasa yang aku anggap selama ni bukannya semudah yang difikirkan. Aku pada mulanya agak yakin bahawa sakit kuning ini akan pulih dan hasil pembacaan isteri turut mengiyakan yang sakit kuning kemungkinan besar akan pulih sendiri selepas tempoh seminggu. Nota ini akan turut diambil mudah dan difikir biasa bagi mereka-mereka yang belum mempunyai pengalaman ini. Mata anakanda Amar Syakirin kami kesan kekuningan selepas hari ketiga dilahirkan dan kami cuba jemur seperti amalan biasa pada hari keempat umurnya di dunia. Fikiran awal kami menyatakan yang kalau betul Amar dijangkiti sekalipun, pasti ianya akan pulih sendiri nanti tetapi atas rasa kasih kami juga atas nasihat ipar duai dan dorngan mertua, kami membawa Amar untuk pemeriksaan. Tersentak hati kami bila hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa Amar perlu ditahan di wad kanak-kanak sejurus mendapat keputusan ujian darah dari bilik makmal. Rasa biasa yang selama ini aku ambil mudah menjadi sangat berat dan sayu dengan sendirinya, bila anak sekecil Amar diletak di bawah lampu UV dengan tidak berbaju dan hanya menutup mata. Dengan jari sekecil kuaci, beliau terpaksa dicucuk untuk tujuan sampel darah. Rasa disiat-siat hati ini bila Amar sesekali mula menggigil kesejukan. Kulitnya tentu masih nipis dan terlalu lembut untuk menapis udara sejuk dari penghawa dingin. Bayangkan betapa azab kalau mata kita yang celik ini ditutup dan ditampal 24 jam. Tubuhnya yang tidak sampai sehasta ini terpaksa melalui tempoh perawatan sebegini. Allah ingatkan kami pada kebesaranNya ..sekelip mata Dia boleh memberi kebahagiaan dan sekelip mata juga rasa bahagia ini boleh direntap nikmatnya. Jangan paksa untuk sedih dan faham perasaan kami suami isteri, kerana hanya siapa yang mengalaminya boleh memahami maksud sebenar hati kami. Sedangkan sakit kuning begini buat kami rasa sangat sedih dan hiba, apatah lagi penderitaan ibu bapa yang lebih teruk sakit anak-anak mereka. Anak comel kepada rakan baik saya sendiri terpaksa ditahan atas sebab sama selama 5 hari beberapa bulan lepas. Aku faham perasaan Yok dan Pojak. Aku juga semakin faham atas permohonan ibu bapa yang sebelum ini kita dengar sanggup menukar hatta nyawa mereka sendiri sebagai galang ganti asalkan anak kesayangan mereka boleh hidup sihat dan diberi peluang merasai nikmat dunia. Tiada niat ingin memulakan nota ini dengan nada sedih kerana perkongsian aku sebenarnya lebih kepada menyalurkan rasa syukur dan mengingatkan diri sendiri juga rakan-rakan pada kekuasaan Allah rabbul Jalil.

Bersyukur kita tidak sepatutnya hanya pada nikmat dan rezeki yang diperolehi. Syukur kita juga seharusnya dipanjangkan pada bala bencana & dugaan yang menimpa kerana sekurang-kurangnya kita masih dipilih untuk diuji olehNya, bukannya dibiarkan tanpa sebarang peringatan. Syukurkah kita setiap hari atas nikmat udara untuk kita bernafas? Syukurkah kita sekurang-kurangnya kita masih mampu membeli sedikit makanan sedangkan ada di kalangan umatnya terpaksa menangguk lopak air kotor untuk dijadikan minuman. Kita selalu mengucap dan teringat untuk bersyukur hanya pada ketika menerima ganjaran..syukur pada rezeki kita samakan dengan memperolehi wang yang banyak. Gaji bulanan yang kurang akan membuatkan kita lupa bersyukur dan terus merungut. Merungut sehingga tanggungjawab kepada ibu bapa kita sempitkan atas alasan belanja tidak mencukupi tanpa kita sedari bahawa nilai wang ringgit tidak sepatutnya menjadi ukuran. Sifat bongkak kita sebagai manusia yang kononnya sangat berilmu dan mampu berfikir dengan baik, kita salurkan pada perkelahian dan perbezaan pendapat sehingga mengucap syukur di alam maya atau laman sosial itu juga menjadi sesuatu yang ingin dibahas. Niatkan syukur dan sebarkanlah rasa itu walaubagaimana cara sekalipun daripada kita terus menjadi leka dan selesa.

Syukurku yang pertama, nikmat mempunyai pasangan tempat aku mencurah kasih.Allah hadirkan aku peluang untuk mengenali insan bernama Nur Akmarina yang aku sunting menjadi isteri setahun yang lalu. Maksud nama Nur Akmarina itu adalah cahaya bulan kami yang dipilih sendiri oleh ibu bapa mertua aku. Benar..indah sungguh nama dan peranannya. Sebentar lagi pada malam ini, tanggal 8 September 2012 adalah hari ulangtahunnya ke 29 dan sehari selepasnya ialah hari ulangtahun perkahwinan kami. Setahun yang cemerlang untuk kami sebagai pasangan suami isteri. Rasanya jam 12 mlm nanti, nota ini belum hAbis dikarang dan sempatlah rasanya nk sambut sekejap harijadi beliau. Tiada hadiah istimewa dari aku kecuali kasih setulus hati dan kami sepakat bahawa Amar Syakirin ialah hadiah ulang tahun perkahwinan kami..hadiah terulung dari syurga. Alhamdulillah, petang tadi sempat juga aku curi masa beli sepotong kek coklat untuk sambutan ringkas kami. Tepat jam 12 nanti aku akan kejut beliau dan hulurkan kek sambil menyanyi perlahan lagu ulangtahun untuknya. Tarikh 9 September tahun lalu aku sah menjadi suaminya dan seusai menggenggam tangan bapanya sebagai wali, aku berjanji bahawa akan memikul amanah mendidik & menjaganya sebaik juga sedaya boleh selagi hayat ini dipinjamkan oleh Yang Maha Pencipta. Tarikh 9 September juga tarikh keramat bagi aku kerana pada tarikh ini jugalah arwah ibu dijemput olehNya. Rahmat di sebalik peristiwa sedih itu, kami digantikan dengan kehaidran pasangan yang menjadi peneman hingga akhir hayat. Aku gunakan ayat kami kerana adikku yang bongsu turut dihadirkan isteri yang mempunya tarikh lahir 9 September. Arwah ibu pergi semasa aku berusia 20 tahun dan adik 16 tahun. Hanya kami yang belum berumahtangga ketika itu dan masih menuntut. Penyesalan kerana tidak sempat membalas jasa ibu sering aku ungkapkan pada isteri. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang, hikmah dari setiap kejadian adalah dari keizinanNya.

Tatkala ini isteri sedang tidur berehat sementara anakanda Amar masih tidur. Saban hari permaisuri hati saya gigih memerah susu untuk anakanda Amar kerana susu ibu adalah azimat paling utama dalam merawat sakit kuning. Saya juga hanya mampu tidur 4 jam sejak 2 hari lepas demi memastikan keperluan 2 orang paling penting dalam hidup saya sekarang saya penuhi sebaiknya. Isteri sebelum ini tidak sepenuhnya menyusukan kerana masih terlalu baru selepas melahirkan zuriat pertama kami, maka kami susuli lapar Amar dengan susu formula. Aku doakan beliau diberi ketabahan, kesihatan tubuh badan dan mendapat tempat selayaknya di akhirat kelak. Aku ingin pikul segala dosanya supaya Allah boleh melancarkan hisabnya kelak. Terima kasih sayang, abang mohon maaf atas salah dan silap sepanjang kita berkenalan dan abang ampunkan segala dosamu. Selamat hari lahir dan ulangtahun perkahwinan kita pertama, semoga kita sama-sama dapat memelihara mahligai ini dan hidup rukun seluruhnya. Abang bersyukur Allah menentukan jodoh kita supaya kita dapat saling melengkapi kelemahan dan kelebihan antara satu sama lain. Terima kasih kerana melahirkan zuriat kita yang pengorbanannya tak mampu abang balas dengan segala kebaikan yang pernah dan akan abang lakukan.

Isteri itu seharusnya diletakkan pada darjat yang sepatutnya. Sang suami patut malu untuk menuntut hak dan pembalasan berlebihan andai kita betul-betul faham dan sedar apa maksud isteri yang sebenarnya. Segannya kita bila mengadu sakit dan penat selepas membantu isteri menyiapkan kerja rumah, walhal sang isteri mengharungi tempoh 9 bulan mengandungkan zuriat hingga akhirnya menggadaikan nyawa melahirkan seterusnya membesarkan anak-anak kita. Galak benar ego sang suami bila secawan air pun hendak disuruh juga isteri yang menyediakannnya. Tugas pemimpin keluarga dijawat dengan megah hingga isteri kadangkala dilihat seperti hamba, disuruh itu ini..dimarah pula depan umum dan dalam masa yang sama minta dilayani ‘kehendak’nya. Sekian ramai golongan lelaki yang mengambil mudah peranan sebagai suami malah tak kurang juga yang bertindak lebih teruk dari haiwan..memukul isteri, mengabaikan tanggungjawab dan selingkuh atas sebab jelas iaitu nafsu serakah. Beberapa waktu lepas, aku emosi melaungkan status di Facebook bahawa ruang hormat isteri bukan hanya ketika di depan mata mereka. Tapi ketika isteri tiada di sisi, kita bebas bercerita mengenai menyundal dengan perempuan lain..seolah-olah terlalu gah dan buas di ranjang. Walhal realitinya, mengaku sayang dan hormatkan isteri. Aku secara peribadinya insan yang suka bergurau..sangat suka menyakat & melawak..ditambah pulak dengan persekitaran aku membesar di negeri Hang Tuah yang umum sedia maklum dengan kata puitis dan madah pujangga keturunan lanun. Sumpah seranah adalah kata bual manis dan rutin dalam setiap dialog. Tapi sekurang-kurangnya masih tahu memilih topik sesuai untuk dibual dan diguraukan. Walaupun hanya kata bual dan bukanlah perbuatan jijik sebenar atau bahasa senang faham, cerita ‘lebat’ tapi bukan berani buat pun. Ada apalah dengan kebanggaan bercerita kononnya pernah membawa balik perempuan balik ke rumah, pernah menyinggah ke rumah urut untuk khidmat ‘sebegitu’ atau berperilaku bebas di negeri seberang..aku tak faham..langsung tak faham. Tidak perlu menjadi alim ulama’ untuk menafsir antara perbuatan salah atau betul, cukup sekadar waras. Letak perasaan sama jika anda mendapat tahu isteri bercakap dan berperilaku jijik di belakang kita.

Doaku agar semakin ramai dari kita tahu makna menghargai pasangan..berbuatlah seperti mana anda mahu dihargai, kelak bahagia hubungan antara manusia dan Ilahi.
Jangan mengharapkan yang sempurna kerana manusia itu memang tidak dijadikan sempurna. Hanya Allah pemunya gelaran sempurna ini dan diutuskan dari kalangan kita, Nabi Muhammad SAW sebagai teladan terbaik dunia dan akhirat. Syukur aku masih diberi kewarasan berfikir betapa mulia dan pentingnya peranan isteri. Andai sesekali terleka, tidaklah sukar sebenarnya untuk merendah diri mengaku kesalahan diri dan mengucap maaf.. Umur dan usia bukan penentu bahawa setiap perbuatan kita menjadi benar belaka hingga tidak boleh dipertikaikan.Kita sebenarnya tahu cuma tidak mahu mengambil tahu.

Syukurku yang teramat hebat nilainya diungkapkan lagi dengan kehadiran anakanda Amar Syakirin pada tanggal 1 September 2012 yang lepas. Keputusan mengenai pemilihan nama anakanda adalah dari persetujuan aku dan isteri…ia semudah aku akan menamakan kalau bayi yang bakal lahir itu lelaki dan sebaliknya. Aku pilih nama Amar Syakirin yang bermaksud ketua atau penegak bagi golongan orang yang bersyukur. Rasa syukur sentiasa membuat kita berasa redha, tenang & positif. Konsep syukur akan membawa kita yakin pada kekuasaanNya. Insyaallah dengan izinNya, nama yang kami berikan ini mendapat keredhaan dariNya dan diberi keberkatan seumur hidupnya.

Setahun lepas, kami diijabkabulkan setelah isteri mendapat cuti singkat dari pengajiaannya di Melbourne. Syukur lagi hubungan ini sampai ke jinjang pelamin setelah berjauhan selama beberapa tahun. Tempoh pertunangan kami sahaja menjangkau usia 2 1/2 tahun dan pelbagai pendapat cinta dihamburkan mengenai tempoh pertunangan kami yang lama tambahan pula kami berjauhan. Perlukah skrip perhubungan setiap pasangan yang bertunang lama itu berakhir dengan noktah sedih? Syukur dari alasan ini ialah kerana kami bahagia dan cukup mengenali hati budi. Kita sendiri yang sebenarnya membuka ruang kepada anasir negatif hinggap dalam perhubungan kita. Aku bukan doktor atau pakar motivasi cinta yang perlu mengingatkan setiap pasangan bahawa kunci sebenar hanyalah sabar. Semudah itu. Sabar itu separuh dari iman lalu berimankah kita bila yang separuh itupun tidak dapat kita laksanakan. Sering aku berpesan pada isteri bahawa aku tidak minta dicintai, aku hanya mahu difahami dan dihargai. Fahamilah pasangan kita..hargailah dia kerana dengan proses ini, cinta bakal hadir sendiri. Acapkali kita dengar CINTA ITU PERLU DIPUPUK, memang benar sebab cinta bukan hadir sekelip mata. Konsep cinta pandang pertama bagi aku hanyalah cinta berlandaskan paras rupa semata. Pasangan itu tentunya cantik atau tampan di mata kita untuk menghadirkan cinta pandang pertama ini. Sedangkan cinta kita pada Allah dan RasulNya dipupuk dengan solat, zakat, amal ibadah, perbuatan baik, sunah dan sirah nAbi… Inikan pula cinta pada manusia. Noktahnya, cintailah Allah dan Rasul dahulu sebelum mencintai manusia. Tiada istilah terlambat selagi hidup di dunia dan solat sunat taubat sebaik melangsungkan perkahwinan bakal memulakan rumahtangga yang bersih isinya, insyaAllah.

Amar Syakirin membawa sinar baru dalam hidup kami. Rancangan awal saya dan isteri untuk melahirkan Amar Syakirin di Melbourne tidak mampu diteruskan dengan kehendak Allah Yang Esa. Isteri mengadu kandungan semakin berat dan kerap sakit belakang. Walaupun aku & ibu mertua sudah beli tiket ke sana, kami nekad untuk menukar keputusan dan isteri kini selamat melahirkan putera sulung kami. Betapa perancangan Allah itu lebih hebat, disebalik fikiran masyarakat kita yang bersalin di luar negara itu nampak gah hingga ada yang menyatakan kami bakal beruntung kerana kononnya bakal memiliki anak dengan 2 kerakyatan, Allah beri peluang yang lebih baik buat Amar Syakirin kerana lahir dalam suasana lebih berkah dan afdal di Pusat Rawatan Islam Az Zahrah, Bandar Baru Bangi. Dengan alunan bacaan Al-Quran melalui corong pembesar suara sepanjang tempoh isteri bertarung melawan kesakitan melahirkan, disusuli dengan amalan tahnik yang diselia dengan bantuan mereka yang lebih arif & persekitaran lebih Islamik. Turutan proses melahirkan Amar Syakirin membawa kami lebih menginsafi diri atas rahmat dan kekuasaanNya.

Alhamdulillah, kami diberi kesempatan untuk kerap mengalunkan bacaan Al-Quran kepada Amar sewaktu Amar masih dalam rahim isteri. Zaman teknologi memberi saya peuang untuk berbuat demikian melalui kecanggihan komunikasi dengan aplikasi Skype. Isteri turut sama melakukan amalan sunah sepanjang tempoh mengandungkan Amar Syakirin dan bekalan kurma tidak pernah putus dari diet harian. Kesulitan paling besar isteri sepanjang mengandung, hanyalah sakit belakang yang mungkin diorong oleh faktor tubuh beliau yang kecil. Wahai orang lelaki gagah perkasa, ambil beras atau gula seberat 3kg dan ikatlah di perut, kendong setiap masa dan belajarlah faham pengorbanan sang ibu. Amar dijadualkan melihat dunia pada tanggal 14 September dan aku sepatutnya terbang ke Melbourne pada tanggal 5 September manakala ibu mertua pada 28 Ogos. Sekali lagi Allah merancang yang lebih baik buat kami kerana jika niat untuk melahirkan Amar Syakirin di Melbourne diteruskan, pasti azan & iqamah dari aku hanya mampu dilakukan setelah beberapa hari Amar lahir. Lebih menyedihkan, isteri bakal bertarung keseorangan dan ibu mertua pasti terpaksa disusahkan dalam menguruskan urusan bersalin. Allah Maha Besar.

Sekurang-kurangnya isteri sempat balik beraya dan kurang dibebankan menjelang tarikh Amar hampir melihat dunia. Lega rasanya dapat membantu memicit kaki isteri yang kejang hampir setiap malam dan menyediakan segelas susu Anmum untuknya sebelum tidur supaya lebih lena dan khasiatnya disalurkan ke anak kami.

Kisah kehadiran anakanda kami aku perincikan lagi di sini. Tarikh jangkaan Amar lahir membuatkan kami merasakan yang sempat untuk kami mengadakan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri. Saya dan keluarga mertua sepakat memilih tarikh cuti umum pada 31 Ogos untuk mengadakan majlis yang kami jadualkan selepas waktu Asar dengan dimulai bacaan doa selamat. Perancangan untuk bacaan doa selamat ini ingin kami niatkan demi memohon kemudahan kepada isteri yang bakal bersalin sebenarnya. Maka, sehari sebelumnya..sibuklah kami sekeluarga menyiapkan rumah dan juadah untuk bakal tetamu. Keesokan harinya kami sambung mengemas rumah untuk kali terakhir dan kami bersiap selepas juadah semua telah tersedia. Terima kasih buat ibu dan bapa mertua yang berpenat lelah memasak untuk santapan para tetamu. Majlis yang dirancang selepas Asar kini hanya menunggu tetamu. Aku sempat menjemput rakan sekolah dan rakan sekerja untuk turut sama hadir. Terima kasih aku ucapkan buat mereka kerana sudi hadir dan menyertai bacaan doa selamat. Allah memberi peringatan lagi pada kekuasaanNya kerana majlis doa selamat yang dirancang itu sebenarnya adalah untuk isteri yang bakal bertarung melahirkan Amar kerana sewaktu menunggu tetamu dan mengisi perut sebelum tetamu datang, isteri tiba-tiba bangun dan berlimpahan air ketuban mengalir dari celah kaki. Mujur persiapan ke hospital telah kami siapkan, aku terus mencapai beg dan dokumen yang perlu lalu bergegas ke Pusat Rawatan Islam Az Zahrah. Majlis jamuan raya terpaksa kami lupakan dan hanya ibu bapa mertua memerah kudrat meneruskan majlis. Isteri langsung tidak mengadu sakit cuma cemas dengan pengalaman pertama ini. Aku sedikit panik lantas membuat perbuatan bodoh melaungkan “merdeka” sewaktu keluar dari rumah. Memang sebelum ini aku pernah berseloroh bahawa Amar mungkin lahir pada hari kemerdakaan negara jika nisbah kekerapan bayi lahir 2 minggu lebih awal dari tarikh jangkaan diambil kira.

Tiba di sana, kami terus naik ke tingkat 2 untuk urusan bersalin. Bidan memeriksa dan pemeriksaan lanjut mengesahkan bukaan Rahim sudah pun mencapai 4cm. Tidak sampai sejam kemudian, bukaan sudah 6cm dan bidan hairan kerana isteri langsung tidak merasa sakit “contraction”.Pembacaan kami pada kesakitan ‘contraction’ seringkali membuat kami seriau dan resah bila memikirkan bagaimana untuk menghadapinya kelak kerana isteri bukanlah dari jenis yang boleh tahan sakit. Rezeki isteri kerana urusan ini dimudahkan Allah..bukan sakit pada ‘contraction’ yang beliau rasai tetapi sakit semasa pemeriksaan bidan pada saiz bukaan rahim yang membuatkan isteri nekad mengambil suntikan epidural. Suntikan epidural atau bius ini bakal mengurangkan rasa sakit melahirkan tetapi turut sama mempunyai sedikit keburukan kerana keupaayaan meneran akan terbatas dek rasa kebas dari paras pinggang ke bawah. Kami dibawa ke bilik bersalin sekitar jam 6 petang dan setelah mengambil suntikan diberi, saiz bukaan menjadi perlahan . Kami menunggu sehingga hampir jam 11 malam untuk bukaan sampai ke 9cm. Doktor dan bidan kini bersedia untuk membantu isteri melahirkan. Isteri dipaksa meneran walaupun tidak mempunyai cukup rasa pada pergerakan bayi. Bukanlah menjadi impian untuk mempunyai bayi yang lahir pada tarikh merdeka tetapi mungkin bonus sebagai warganegara untuk mempunyai peluang sebegini. Pengalaman menemani isteri sewaktu melahirkan harusnya sesuatu yang wajib diingati suami setiap kali timbul konflik dalam rumahtangga. Betapa perit jerih dan sakitnya isteri, cukup kita yang tahu. Aku yang awalnya bersifat tenang , mententeramkan isteri dengan kalimah zikir dan selawat..akhirnya pasrah dengan turut sama bersuara galak memberi semangat kepada isteri seolah-olah sedang menyokong perlawanan bolasepak. Pengalaman menyokong pasukan negeri Melaka di Stadium Kubu sekitar awal 90-an aku praktikkan di wad bersalin. Sehingga jam 11.40 malam, isteri terus meneran dan doktor membuat keputusan untuk menggunakan kaedah vakum bagi membantu mengeluarkan Amar kerana menurutnya, isteri tidak mempunyai cukp kekuatan dan bayi dikhuatiri lemas setelah hampir sejam cuba melahirkan. Doktor sempat memberi pesan bahawa jika kaedah vakum tidak berjaya, maka pembedahan terpaksa dilakukan dan sejurus mendengar ayat ‘pembedahan’, isteri terus diresap dengan semangat baru dan kurang 15 minit kemudian, aku nampak kepala Amar di hujung pam vakum. Doktor meneruskan proses dengan pantas bagi mengeluarkan Amar dan pemeriksaan pantas mereka mendorong untuk Amar dihantar ke wad nurseri kerana menurut doktor, warna Amar tidak memberangsaangkan. Kamera yang memang tersedia dari tadi aku capai untuk aku rakam sedikit detik-detik emosi ini. Cukup emosi. “Alhamdulillah, itu anak kita sayang..terima kasih..terima kasih” ..aku genggam tangan isteri dan menghadiahkan kucupan di dahi.

Secara rasminya, Amar Syakirin lahir pada tanggal 1 September 2012 pada pukul 12.50 pagi iaitu kurang 50 minit untuk digelar anak merdeka. Mujur aku sempat menahan jururawat sebentar sebelum dibawa ke wad nurseri untuk aku azan dan iqamahkan seperti yang disyariatkan. Isteri mengalami sedikit lagi masalah kerana uri sukar untuk dikeluarkan. Doktor membuat keputusan untuk menidurkan isteri dengan dos dan meneruskan proses yang diperlukan bagi membawa uri keluar. Aku diminta keluar dari wad bersalin. Anakanda di wad nurseri aras 3 untuk urusan pemeriksaan segera dan isteri di dalam wad bersalin aras 2 untuk proses mengeluarkan uri. Aku kalut seketika sebelum pergi ke surau untuk solat sunat 2 rakaat, tanda syukur atas kurniaan zuriat dan keselamatan mereka. Aku panjatkan doa memohon kedua insan kesayangan diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan masing-masing. Air mata tumpah murah di atas sejadah. Hanya pada Dia tempat kita berserah. Aku mengumpul kekuatan sebentar untuk ke wad nurseri sementara doktor berusaha membantu isteri. Anakanda Amar diletak di atas tray bayi dan dipasang dengan mesin penguji kadar denyutan jantung sebelum dibantu sebentar dengan bekas oksigen sebelum Amar didedahkan pada udara bilik yang sebenar. Amar kelihatan sedikit biru tapi ujian menunjukkan bacaan normal. Cuma kepala Amar mengalami sedikit bengkak di sebelah kanan mungkin akibat sedutan pam vakum atau mungkin dari tekanan sewaktu proses ‘contraction’. Aku tenung Amar sepuasnya dan aku tawaf sekeliling tray untul menatap setiap inci tubuh kecilnya. Tidak terucap rasa syukur pada yang Esa, hening dalam hati dan kembali membuatkan mata berkaca-kaca. Aku hela nafas panjang sebelum turun semula ke wad bersalin untuk mengetahui perkembangan isteri. Kedengaran suara mengerang kesakitan beliau..runtuh rasa jantung. Sedangkan dalam lena bius, beliau masih mengerang tanpa sedar..apatah lagi jika tidak dibius. Ya Allah, hambamu ini memohon padamu..kau selamatkanlah isteriku dan ampunkanlah segala dosanya. Aku buntu lagi sbentar sebelum kembali ke wad dan mencapai kitab suci al quran. Beberapa ketika kemudian, jururawat masuk bilik menolak masuk katil isteri. Dalam keadaan separuh sedar isteri bangun berpindah katil..bertanyakan bayi kami. Aku pujuk beliau supaya bersabar sedikit dan menerangkan keadaaan Amar. Amar perlu dipantau untuk sekurang-kurang nya 2 jam lagi. Aku minta isteri berehat sebentar dan aku ambil peluang untuk pulang ke rumah sebentar, mandi, makan dan mengambil keperluan lain. Aku tinggalkan sebentar isteri dan kembali semula saat fajar Subuh mula menyinsing.

Sesampai di bilik wad, anakanda Amar berada di pangkuan isteri. Pemandangan paling indah buat aku. Memang telah banyak tempat yang aku ziarah tetapi tak mampu menandingi pemandangan indah sebegini. Aku bisikkan di telinga isteri… “Ini anak kita, kurniaan Allah dari syurga..untuk kita jaga dan kita didik menjadi umat yang soleh dan patuh perintaNya”. Doa Subuhku dipenuhi dengan memanjat syukur padaNya. Tuhan Pemberi Nikmat dan Penguasa Alam.Kulit lembut Amar..bau wangi Amar menjadi azimat untuk aku memahat janji yang aku akan cuba menjadi bapa terbaik kepadanya.Isteri kini sebagai Umi dan aku sebagai Abi. Umi dan Abi berjanji akan menyayangi Amar sebagaimana kasihnya NAbi Muhammad pada umatnya. Akan Abi & Umi cuba adunkan pendidikan Amar sebaiknya tanpa berteraskan adat budaya semata-mata yang sesetengahnya kami sendiri tidak tahu asal usul dan logik juga rasionalnya. Selepas beberapa minit, jururawat datang kerana Amar perlu dihantar semula ke wad nurseri untuk pemantauan lanjut. Doktor pakar kanak-kanak hanya akan tiba pada waktu pejabat.

Aku bentangkan sejadah di sebelah katil isteri sebagai alas tempat tidur sementara menunggu waktu pejabat tiba. Ayah, mama & Hana tiba awal menziarahi sebelum menyusul Abah, Ira, Abang Joe, Akak Bie dan anak-anak buah..Ajim,Wanie,Mimie,Syaurah, Athirah, Adibah,Aiman.. turut datang menziarah dari Melaka. Tak ketinggalan sahabat zaman persekolahan, saudara Halim Ismail yang sehari sebelumnya turut hadir di majlis jamuan dan doa selamat di rumah. Terima kasih atas hadiah dan kunjungan. Kunjungan juga kami terima dari sahabat-sahabat isteri sewaktu menuntut di Monash University, Melbourne. Terima kasih Kak Ina & Abang Khairul, Nurin & Zaid, Ajib , Zety dan suami. Bagaimanapun, isteri dan Amar perlu ditahan untuk tempoh sehari lagi kerana luka jahitan isteri perlu diperiksa dan bengkak di sebelah kanan kepala Amar perlu dipantau. Maka sehari lagi aku tidur di atas sejadah menemani kedua insan tercinta. Keesokannya kami pulang ke rumah dengan bantuan ayah dan mama yang menjemput. Bilik kami di rumah yang separuhnya dipenuhi barangan Amar kini menemui pemiliknya. Daripada separuh barangan tadi..kebanyakan hasil tangan Uminya sendiri..gigih beliau menjahit demi Amar. Kagum aku dengan keupayaan, kreatif dan inisiatifnya, lagi pula..barangan tersebut bakal dikomersialkan. Harap beliau tabah melayan tempahan yang bakal tiba. Malam pertama Amar di rumah juga seperti bayi bayi lain rasanya. Kami dihadiahkan dengan ganjaran tidak dapat tidur dan hadiah ini kami hayati sepenuhnya. Malam kedua juga begitu tapi kami mula faham sedikit demi sedikit kehendak bayi sekecil Amar. Masuk hari ketiga.. Allah tarik sedikit nikmat dari kami..sesudah kami diberi kurniaan rezeki tidak terhingga ini. Amar kami kesan menghidap sakit kuning kerana kelihatan putih matanya kini sedikit kekuningan. Dan sinilah kembalinya kisah aku di permulaan tadi.

Sebentar tadi doktor pelatih mengambil sampel darah Amar melalui suntikan kecil di tumitnya, kali ini Amar cuma merengek kecil berbanding pagi semalam. Tekniknya mudah..aku usap perlahan tanda kehadiran sebelum membenarkan doktor menyuntik kerana doktor sebelumnya hanya datang dan terus menyuntik tanpa memberi amaran awal. Isteri yang tadi keluar kerana tidak ingin mendengar Amar menangis kesakitan, masuk kembali untuk kembali mengepam susu untuk Amar. Susu terbaik dari ibu yang juga merupakan penawar terbaik sakit kuning. Syukur kami padaNya kerana jika tidak diberi peringatan sebegini, mana mungkin kami dapat menghabiskan masa seerat ini..dugaan ini adalah supaya kami lebih masa untuk menyembah dan sujud padaNya juga menilai kembali anugerah pemberianNya sekaligus mengukuh kasih antara kami. Tidurku hanya beberapa jam untuk tempoh 2 hari ini, selebihnya untuk menjaga Amar dan isteri di wad. Atas alasan apalah lagi untuk kita nafikan kebesaranNya. Ingin aku selitkan kekecewaan pada yang tergamak membuang bayi mereka, setiap dari kita ada kisah silamnya..ada kesilapan masing-masing tapi janganlah terus membuat silap. Pandangan masyarakat kita yang umumnya negatif dan gemar menghukum bukan kayu ukur untuk kita meneruskan kehidupan. Bayi yang sebenarnya aset kepada kita di akhirat kelak melalui doa anak yang soleh. Kejarlah redha Allah bukan redha manusia, seprti yang kerap dinasihati pakar opthomologi dan motivasi, Prof. Dr. Muhaya.

Untuk anakanda Amar Syakirin, andai tiada harta dunia untuk Abi mewahkan..anggap nota ini tanda kasih tulus dari Abi. Seluruh pengalaman yang Abi catatkan ini lebih kepada mengingatkan diri sendiri dan sebagai rujukan andai satu hari nanti Abi alpa dalam menunaikan tanggungjawab. Betapa Abi mengharap kehadiran Amar beberapa ketika dahulu hingga turut mengundang resah Umi. Betapa besar harapan Abi & Umi pada Amar. Tidak akan ada cukup ayat di dunia ini untuk menyatakan betapa kami menyayangi Amar. Doa Abi agar Amar menjadi insan berguna satu hari kelak tidak pernah lekang dari setiap kali selepas solat. Kini kita sekeluarga..Abi, Umi dan Amar. Amar harus selalu dengar kata dan nasihat yang baik dari Umi. Satu hari nanti, andai mampu..jangan lupa membalas jasa Umi yang melahirkan Amar kerana syurga Amar berada di bawah telapak kaki Umi. Contohilah Umi dalam hal mengejar ilmu. Tapi ingatlah Amar Syakirin, sebesar mane kasih Abi dan Umi sekali pun tidak sepatutnya melebihi kasihnya kita pada Allah. Tunduk dan patuhlah pada suruhanNya, nescaya kamu mendapat berat dan rahmat di dunia dan alam selepasnya. Merendah dirilah sepanjang masa dan terus sentiasa senyum.

Ya Allah, bantulah kami sekeluarga mengejar keredhaanMu. Kami insan yang lemah, daif dan hina..tidak layak bagi kami untuk syurgaMu, maka bimbinglah kami kearah jalan yang benar, tetapkanlah iman kami, sihatkanlah tubuh badan kami agar terus sentiasa melakukan amal ibadah kepadaMu, murahkanlah rezeki kami supaya dapat kami turut berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Hindarkanlah kami dari godaan syaitan yang direjam, terapkan kami dengan sifat mahmudah. Kami naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau & Nabi Muhammad adalah kekasihMu.

Amiinn Ya Rabbal Alaminn.


>> proof of a boy <<

Nota kaki :-

* Gambar-gambar comel Amar pasti akan banyak diupload selepas ini. Sedih rasa sebab tak dpt upload sama gambar Amar bersama Umi sebab keadaan tak mengizinkan. Kita tunggu di entri akan datang ok :)

* APAIPICTURES kini boleh bergerak aktif kembali setelah banyak urusniaga tergendala sepanjang  tahun ini atas urusan keluarga :)

* Promosi untuk toys dari makyangsofties.wordpress.com juga bakal menyusul. Boleh rujuk di SINI untuk sampel.

“Keep Giving & Smiling”

 

All Images Copyright APAIPICTURES | Blog Theme Created by LJP & SLR Lounge